Saturday, 3 March 2012




Salwa baru saja memulakan pekerjaan barunya sebagai seorang guru kaunseling di sebuah sekolah.

Dia sangat bersemangat untuk memberikan nasihat kepada pelajar2 di sekolah itu.

Pada masa rehat.. dia melihat seorang pelajar yang tengah berdiri seorang diri hujung padang sedangkan kawan-kawangnya yang lain asyik bermain di tengah-tengah padang mengejar bola antara satu sama lain.

Salwa cuba mendekati pelajar itu dan bertanya apakah dia ada masalah... Pelajar itu menjawab bahawa keadaannya baik saja.

Mendengar jawapan itu Salwa lalu meninggalkannya.

Beberapa minit kemudian Salwa memerhatikan lagi pelajar itu masih sendirian di tempat yang sama. Salwa kini yakin bahawa pelajar ini sebenarnya mempunyai masalah.

Lalu sekali lagi Salwa mendekati pelajar itu dan berkata penuh kelembutan...

"Apakah kamu mahu kalau saya menemanimu?"

Pelajar itu menjawab..

"Okey.. boleh saja...!"

Merasa bahawa pendekatannya berhasil Salwa bertanya lagi..

"Kenapa kamu berdiri seorang diri di sini?"

"Kerana ..." jawab pelajar itu dengan penuh kehairanan...

"... Sebenarnya saya adalah penjaga gol!"



Kisah Ibu Dan Anak Yang Menyayat Hati

 Pada zaman dahulu, di sebuah perkampungan yang kecil, tinggallah seorang perempuan bernama Solehah dan anaknya ,Amru yang baru berusia 5 tahun. Suaminya telah meninggal dunia ketika di medan perang. Maka tinggallah Solehah dan anaknya sehelai sepinggan meneruskan kehidupan di sebuah rumah kecil peninggalan suaminya. Kerja solehah sebagai penenun kain menjadikan hidup mereka serba sedikit senang. Dia dan anaknya masih boleh mengisi perut dan menjalani kehidupan walaupun tidak semewah orang lain. Sekurang-kurang mereka tidak perlu mengemis untuk mendapatkan sesuap nasi. Jika ramai orang yang mengupah solehah untuk menenun kain, maka berisi lah perut mereka hari itu , tetapi jika tiada pelanggan, maka mereka terpaksa makan makanan simpanan sebelum ini yang sedikit untuk mengalas perut.Begitulah kerja Solehah yang tidak menentu setiap hari.

Pada suatu hari, tidak ada seorang pun yang datang ke rumah Solehah untuk mengupahnya menenun kain. Nasib baiklah, dia telah menyimpan sedikit roti untuk anaknya.

“Amru sayang, Umi minta maaf sebab hari ini hanya ada sedikit roti untuk amru makan, tapi Umi janji, esok kita makan nasi ya,” Solehah berkata kepada sambil menghulurkan beberapa keping roti untuk Amru.

“Umi, kalau Amru makan roti ni, Umi nak makan apa?” Amru menyoal ibunya yang masih tidak berhenti membelai rambutnya itu.

“Umi tak penting pun Amru. Amru makan kenyang-kenyang ya. Umi tengok Amru kenyang pun Umi rasa dah kenyang. Amru jangan risaukan Umi.” Solehah menjawab soalan Amru yang kelihatan masih setahun jagung itu. Bagi Solehah, dia tidak kisah untuk berlapar. Melihat anaknya ceria dan tersenyum setiap hari, itu sudah cukup membuat hatinya gembira.

“Umi, Amru janji, bila Amru besar nanti, Amru nak bekerja rajin-rajin. Amru nak bagi Umi makan enak-enak.” kata Amru pandai menjaga hati ibunya. Kemudian, dia menyuap sedikit roti ke mulut ibunya itu. Solehah hanya tersenyum dengan gelagat anak kecilnya itu.


Sejak kecil, Amru dididik dan dijaga oleh Solehah sepenuh kasih sayang. Dia diberi didikan agama yang sempurna dan diasuh bagai menatang minyak yang penuh, seekor nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap di badan Amru. Baginya, Amru merupakan satu-satunya harta peninggalannya. Setelah beberapa tahun berlalu, Amru telah membesar menjadi seorang pemuda yang segak dan tampan. Solehah pula semakin lama, semakin tua tetapi keringatnya terus jatuh ke bumi mencari nafkah buat keluarganya.Perubahan mendadak ditunjukkan pada sikap Amru. Dia sering keluar untuk bersukaria bersama kawan-kawannya. Dia juga semakin degil dan selalu melawan cakap ibunya. Walaupun disuruh oleh ibunya untuk mencari kerja, tetapi nasihat ibunya yang tua itu langsung tidak diendahkan.Malah Amru sering menengking dan berkasar sehingga membuat ibunya itu terguris.

Solehah tidak tahu mengapa Amru bersikap sedemikian terhadapnya. Dia tidak pernah mengajar anaknya untuk berkasar. Setiap hari, dia berdoa agar tuhan sentiasa melindungi Amru daripada sebarang perkara yang tidak baik. Amru pula, langsung tidak berubah, selalu keluar berfoya-foya dengan kawan-kawannya. Dia akan ke pekan untuk menghabiskan wang yang diberi oleh ibunya untuk melakukan perkara yang tidak senonoh. Duit itu banyak dihabiskannya untuk berjudi.Disebabkan berjudi itu juga, dia selalu dipukul kerana tidak dapat membayar wang yang sepatutnya. Begitulah rutin harian Amru. Dia tidak serik untuk berjudi walaupun tahu akibatnya. Apabila balik ke rumah, badan Amru akan cedera dan luka di sana-sini akibat dipukul. Solehah jugalah orang yang akan merawatnya. Dia menyapu ubat di badan Amru sambil menitiskan air mata melihat anaknya itu. Semahunya, dia tidak ingin perkara itu berlaku pada anak kesayangannya itu.


“Sakitkah anakku? Umi sapu perlahan-lahan ya.Kamu sudah besar Amru. Umi, sudah beberapa kali pesan jangan berkawan dengan orang yang tidak elok akhlaknya. Kamu juga yang susah nanti,” ujar solehah memberi nasihat kepada anaknya itu.Begitulah kata-kata yang sama keluar dari mulut solehah tiap kali merawat Amru. Amru hanya membisu seribu bahasa. Kesakitan yang dialami menutup mulutnya.

Namun Amru tetap tidak berubah. Perangainya masih sama seperti dahulu. Kerap kali keluar ke pekan bersama kawan-kawanya untuk berjudi. Tiap kali dia berjudi tiap kali itu jugalah dia kalah. Nasib langsung tidak menyebelahinya. Dan tiap kali dia kalah tiap kali itu jugalah badannya akan menerima padahnya. Begitulah nasib Amru setiap hari. Nasib baiklah dia mempunyai seorang ibu penyayang yang masih mengambil berat akannya.

Setiap hari seperti biasa amru akan meminta wang daripada ibunya sebelum keluar.

Umi!! Amru nak wang lagi!! Cepatlah Umi, kawan-kawan amru tunggu Amru tu!! Tengking Amru kepada ibunya yang telah tua itu.

“Semua wang Umi sudah habis Amru. Wang semalam ialah wang terakhir dari simpanan Umi. Umi sudah tiada wang untuk diberi kepada Amru.” Jawab solehah pilu. Semua wangnya telah diberi kepada Amru tanpa sempat pun dia membeli sedikit makanan.

“Umi tipu!!! Umi masih ada wang tapi Umi tidak mahu beri pada Amru kan??!!” Tengking amru. Jawapan ibunya itu membuatkannya marah. Kemudian dia terus menggeledah seluruh isi rumah untuk mencari wang. Namun usahanya itu tidak berhasil kerana sekeping wang pun tidak berjaya dijumpai.

“Perempuan tua tak guna!!” Jerit Amru. Dia kemudian menolak ibunya sehingga rebah dan keluar dari rumah dengan perasan yang hampa. Amru benar-benar tertekan kerana jika tiada wang maka tiadalah keseronokan dalam hidupnya.

Di pertengahan jalan, Amru diberhentikan oleh seorang pemuda yang langsung tidak dikenalinya. Pemuda itu kelihatan kaya dengan pakaiannya yang mahal. Amru tidak sedar bahawa pemuda itu sebenarnya adalah syaitan yang menyamar sebagai manusia. Syaitan itu hanya ingin memerangkap amru.Bagi syaitan itu, Amru adalah orang yang sangat mudah diperdaya dengan harta dan wang.

“Apa sebenarnya yang kamu mahu ?” tanya Amru kepada pemuda segak yang berdiri di hadapannya.

“Aku hanya mahu menolong kamu. Bukankah kamu kesempitan wang sekarang? Aku mahu memberi kamu wang yang banyak.” Jawab syaitan itu memperdaya Amru.

“Memberi aku wang yang banyak?!” Amru terperanjat dan gembira.

“Ya. Wang yang banyak. Tapi dengan satu syarat.” Ujar syaitan bijak bermain dengan kata.

“Apakah syarat tersebut. Cakaplah apa yang tuan mahu? Segera juga aku penuhinya.

Syaratnya, bawa hati ibu kamu kepada aku dan wang yang banyak akan menjadi milik kamu.

Tanpa banyak berfikir, Amru terus berlari ke rumahnya. Tanpa belas kasihan amru membunuh menanam,dan mengambil hati ibunya.Ibu yang selama ini menjaga dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Ibu yang sanggup berlapar demi anaknya. Ibu yang sanggup bekerja demi mencari sesuap nasi untuk anaknya.Ibu yang selalu merawatnya semasa sakit. Malah, ketika Amru pulang, ibunya sedang menyiapkan masakan kegemaran Amru tanpa terasa sedikit pun akan perbuatan Amru sebelum ini.
Amru sangat gembira kerana dengan hati ibunya itu, dia akan mendapat wang yang banyak. Dia terus berlari untuk mendapatkan pemuda yang berjanji dengannya tadi sambil membawa hati ibunya itu. Semasa berlari keseronokan membayangkan dia akan mendapat wang yang banyak, tanpa disedari Amru tersepak batu lalu terjelopok ke tanah.Dia mengerang kesakitan.

“Sakitkah anakku?” dengan izin Allah,tiba-tiba sahaja hati milik ibunya itu bercakap apabila melihat anak kesayangannya sakit akibat jatuh tersungkur.Dengan penuh kasih sayang hati itu terus bertanya. Soalan tersebut ditanya berulang-ulang kali sehingga membuatkan Amru terperanjat. Tanpa mempedulikan kata-kata hati itu, Amru terus mengambil dan membawanya kepada pemuda yang menyamar sebagai syaitan. Syaitan berasa amat gembira sekali kerana misinya berjaya. Sebagai balasan Amru diberikan wang yang banyak sebagaimana yang telah dijanjikan.

Dengan wang yang banyak itu, Amru meneruskan kehidupannya dengan berjudi. Akhirnya sekelip mata sahaja wang banyak yang diberikan oleh syaitan tadi habis digunakan. Seperti biasa Amru akan dipukul. Apabila balik ke rumah, tiada lagi kedengaran suara bimbang ibunya. Tiada lagi ibunya untuk merawat segala luka-luka di badannya. Tiada lagi ibunya untuk memasak makanan kegemarannya. Tiada lagi ibunya untuk membelai-belai menidurkannya. Akibat sikap Amru yang suka berjudi, rumahnya dijual. Akhirnya Amru menjadi pengemis dan mati di tepi jalan akibat kelaparan.

Begitulah kisah menyayat hati seorang ibu dan anaknya. Kisah kasih sayang ibu kepada anaknya yang tidak berbelah bagi. Kisah pengorbanan seorang ibu. Betapa sayangnya seorang ibu kepada anaknya itu sehingga hati masih mampu berkata-kata, risau melihat anaknya sakit. Kita pula bagaimana? Sayangkah kita pada ibu kita? Pernahkah kita membuat ibu kita menangis? Pernahkah kita bayangkan kanak-kanak yatim piatu yang tidak mempunyai ibu? Bagaimanakah nasib mereka? Kita ni sememangnya bertuah kerana mempunyai ibu. Jadi hargailah ibu anda sebaik-baiknya.

Friday, 2 March 2012


 5 Syarat Nak Buat Maksiat...^^

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham.
 

Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
 

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata,
 
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
 

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
 
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata,
 
"Syarat pertama,
 
jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya."
 

Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata,
 
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
 

"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.
 
"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua,"
 kata Ibrahim, 
"kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!
 

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya,
 
"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu.
 

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.
 
Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"
 

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
 
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'."
 
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,
 
"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
 
Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata,
 
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."
 

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.
"Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah."
 katanya sambil terisak-isak. 


ARWAH IBU MELAWAT JENAZAH ANAK

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital.

Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah,Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut.

Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
 
Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan.

Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah.
Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an.
Allah Maha Berkuasa.

Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam.
Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya.

Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.
Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna.

Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar.

Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu.

Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi?

Siapakah pemuda itu?

Mengapa wajahnya bertukar hitam?

Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.
 

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya.

Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya.

Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.

Ustaz," kata wanita itu.

"Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut.

Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut.

Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya.
 

"Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya.

"Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih."

"Makcik lihatlah betul-betul." kata saya.

Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya.

Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan
membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya.

"Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya.

Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak.

Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab.

Dia seperti menyembunyikan sesuatu.

"Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu, saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini" kata saya untuk menggertaknya.

Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya.

Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik,patuh dan taat kepada saya.

Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun.

Dia memang anak yang baik.

Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang,
Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik.

Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin.

Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut.

Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya.

Mungkin itulah yang berlaku.

Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.

Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.

Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.

Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula.

Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
 

Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya.

Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,

"Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari.

Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya.

Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya,wajahnya,tuturannya serta pakaiannya.

"Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!"

Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.
Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?
Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.

Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.
Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja, dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.